Zikir Sangat Penting Dan Tidak Sepantutnya Diabaikan

Zikir: Ibadah Hati yang Menghidupkan dan Menenangkan

Zikir adalah ibadah hati yang menjadikannya baik dan menenangkan jiwa. Allah SWT berfirman:

“(Iaitu) orang-orang yang beriman dan hati mereka menjadi tenteram dengan mengingati Allah. Ingatlah, hanya dengan mengingati Allah hati menjadi tenteram.” (Surah al-Ra’d: 28)

Apabila hati berada dalam keadaan tenang, maka ia menjadi baik dan dengan kebaikan hati, seluruh jasad turut menjadi baik. Rasulullah ﷺ bersabda:

“Ketahuilah, sesungguhnya dalam jasad ada seketul daging. Jika ia baik, maka baiklah seluruh jasad. Jika ia rosak, maka rosaklah seluruh jasad. Ketahuilah, ia adalah hati.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Oleh itu, zikir adalah asas kepada hati, dan hati pula adalah asas kepada jasad. Hati seorang mukmin hidup dengan mengingati Allah SWT, dan apabila hati hidup, seluruh tubuh juga akan hidup. Dalam sebuah hadis, Abu Musa al-Asy’ari RA meriwayatkan bahawa Rasulullah ﷺ bersabda:

“Perumpamaan orang yang berzikir kepada Tuhannya dan orang yang tidak berzikir kepada Tuhannya adalah seperti orang hidup dan orang mati.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Makna ini semakin jelas apabila kita menyedari bahawa solat—yang merupakan tiang agama dan rukun yang kukuh—disyariatkan untuk mengingati Allah. Allah SWT berfirman:

“Dan dirikanlah solat untuk mengingat-Ku.” (Surah Taha: 14)

Bahkan, apabila seorang Muslim memulakan solatnya dengan ucapan Bismillahir Rahmanir Rahim, Allah SWT membanggakannya di hadapan para malaikat dan berfirman: “Hamba-Ku telah mengingati-Ku.”

Zikir adalah bingkai umum dan persekitaran yang baik bagi segala ibadah yang lain. Hal ini dapat dilihat dalam solat, di mana ia dimulakan dengan takbir dan diakhiri dengan salam, kedua-duanya adalah zikir kepada Allah. Allah SWT berfirman:

“Dan dia menyebut nama Tuhannya lalu dia pun mengerjakan solat.” (Surah al-A’la: 15)

Hubungan zikir dengan ibadah-ibadah lain ibarat hubungan pokok dengan tanah; tidak mungkin pokok tumbuh tanpa tanah untuk ditanam.

Perintah untuk berzikir adalah perintah dari seorang yang mencintai kepada yang dicintainya, dan hanya mereka yang benar dalam cintanya akan mematuhi perintah tersebut. Allah SWT berfirman:

“Maka ingatlah Aku, nescaya Aku akan ingat kamu. Bersyukurlah kepada-Ku dan janganlah kamu kufur kepada-Ku.” (Surah al-Baqarah: 152)

Dalam sebuah hadis qudsi yang diriwayatkan oleh Rasulullah ﷺ, Allah SWT berfirman:

“Aku bersama hamba-Ku ketika dia mengingati-Ku. Jika dia mengingati-Ku dalam dirinya, Aku akan mengingatinya dalam diri-Ku. Jika dia mengingati-Ku dalam suatu kumpulan, Aku akan mengingatinya dalam kumpulan yang lebih baik daripada mereka.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Apabila seseorang mencintai seseorang yang lain, dia pasti mengharapkan agar dirinya sentiasa diingat oleh orang yang dicintainya. Maka, zikir adalah tanda kecintaan kerana tidak mungkin seorang pencinta lalai daripada mengingati yang dicintainya.

— Mawlana al-Imam Dr. Ali Jum’ah
DAHIM BIN JALAL
Pendakwah Bertauliah Negeri Selangor
0132264264

Comments

Popular posts from this blog

LAFAZ MEWAKILKAN SAMA ADA UCAPAN ATAU DALAM BORANG KORBAN

SALAWAT AL-FATIH