𝗠𝗘𝗡𝗚𝗔𝗡𝗚𝗞𝗔𝗧 𝗧𝗔𝗡𝗚𝗔𝗡 𝗠𝗘𝗡𝗚𝗔𝗠𝗜𝗡𝗞𝗔𝗡 𝗗𝗢𝗔 𝗞𝗘𝗧𝗜𝗞𝗔 𝗞𝗛𝗔𝗧𝗜𝗕 𝗕𝗘𝗥𝗗𝗢𝗔
𝗠𝗘𝗡𝗚𝗔𝗡𝗚𝗞𝗔𝗧 𝗧𝗔𝗡𝗚𝗔𝗡 𝗠𝗘𝗡𝗚𝗔𝗠𝗜𝗡𝗞𝗔𝗡 𝗗𝗢𝗔 𝗞𝗘𝗧𝗜𝗞𝗔 𝗞𝗛𝗔𝗧𝗜𝗕 𝗕𝗘𝗥𝗗𝗢𝗔
PENDAHULUAN
Mengangkat tangan ketika berdoa adalah sunat dan merupakan adab berdoa menurut kesepakatan ulama. Bahkan hadis mengangkat tangan ketika berdoa adalah mutawatir sebagaimana masyhur disampaikan para ulama dalam kitab-kitab mustalah hadis.
.
Dalam sebuah hadis sahih, Rasulullah ﷺ bersabda:
.
ثُمَّ ذَكَرَ الرَّجُلَ يُطِيلُ السَّفَرَ أَشْعَثَ أَغْبَرَ، يَمُدُّ يَدَيْهِ إِلَى السَّمَاءِ، يَا رَبِّ، يَا رَبِّ، وَمَطْعَمُهُ حَرَامٌ، وَمَشْرَبُهُ حَرَامٌ، وَمَلْبَسُهُ حَرَامٌ، وَغُذِيَ بِالْحَرَامِ، فَأَنَّى يُسْتَجَابُ لِذَلِكَ؟
.
"Kemudian disebutkan tentang seorang lelaki yang melakukan perjalanan yang jauh, rambutnya kusut dan tubuhnya berdebu. Ia mengangkat dua tangannya ke langit seraya berkata: 'Wahai Tuhanku, wahai Tuhanku.' Namun makanannya haram, minumannya haram, pakaiannya haram, dan ia diberi makan dari sesuatu yang haram. Maka bagaimana mungkin doanya akan dikabulkan?" (HR. Muslim)
.
Ketika menjelaskan hadis ini, Imam at-Thufi al-Hanbali berkata:
.
قوله: » يَمُدُّ يَدَيْهِ إِلَى السَّمَاءِ« يدل على أن من أدب الدعاء رفع اليدين إلى السماء، وكان النبي صلى الله عليه وآله وسلم يرفع يديه في الاستسقاء حتى يُرى بياض إبطيه
.
“Sabda Nabi ﷺ “Ia mengangkat dua tangannya ke langit” menunjukkan bahawa daripada adab doa adalah mengangkat tangan ke langit, dan Nabi shallallahu alaihi wa sallam pernah mengangkat kedua tangannya ketika meminta hujan hingga terlihat putih ketiaknya”. [1]
.
Imam Ibn Rajab al-Hanbali memberikan syarah hadith diatas:
.
هذا الكلام أشار فيه صلى الله عليه وآله وسلم إلى آداب الدعاء، وإلى الأسباب التي تقتضي إجابته، وإلى ما يمنع من إجابته، فذكر من الأسباب التي تقتضي إجابة الدعاء أربعة.. الثالث: مد يديه إلى السماء، وهو من آداب الدعاء التي يرجى بسببها إجابته
.
“Ucapan ini, Rasulullah ﷺ mengisyaratkan padanya tentang adab-adab berdoa, sebab-sebab yang menyebabkan doa dikabulkan, dan hal-hal yang menghalangi doa daripada dikabulkan. Beliau menyebutkan, daripada sebab-sebab dikabulkannya doa ada empat hal. Yang ketiga: mengangkat kedua tangan ke langit, dan ini termasuk adab berdoa yang diharapkan dengan sebabnya doa akan dikabulkan.” [2]
.
MENGANGKAT TANGAN KETIKA MEMBACA DOA DALAM KHUTBAH
.
Ketika khutbah kedua dalam solat Jumaat, khatib berdoa mendoakan kaum muslimin dan muslimat kerana melaksanakan rukun khutbah. Yang menjadi persoalan, apakah makmum atau jamaah yang hadir sunat mengaminkan doa khatib tersebut? Dan apakah imam dan makmum atau jamaah ketika mengaminkan doa mereka sunat mengangkat kedua tangan?
.
Mengaminkan doa khatib adalah sunat seperti mana artikel Jabatan Mufti Negeri Pahang telah keluarkan sebelum ini, sila rujuk di website rasmi JMNP untuk perbahasan terperinci tentang perkara ini. Hal ini dapat dilihat dalam sebuah hadis riwayat Habib bin Maslamah al-Fihri disebutkan bahawa Rasulullah ﷺ bersabda:
.
لَا يَجْتَمِعُ مَلَأٌ فَيَدْعُو بَعْضُهُمْ، وَيُؤَمِّنُ الْبَعْضُ، إِلَّا أَجَابَهُمُ اللَّهُ
.
“Tidaklah berkumpul satu golongan, kemudian sebahagian berdoa dan sebahagian yang lain mengaminkan, kecuali Allah akan mengijabah doa mereka” (HR. al-Hakim)
.
Dalam kitab Mausu’ah Fiqhiyah Kuwaitiyah disebutkan:
.
يُسَنُّ التَّأْمِينُ عَلَى دُعَاءِ الْخَطِيبِ عِنْدَ الْمَالِكِيَّةِ وَالشَّافِعِيَّةِ وَالْحَنَابِلَةِ، إِلَاّ أَنَّهُ يَكُونُ عِنْدَ الْمَالِكِيَّةِ وَالْحَنَابِلَةِ سِرًّا، وَبِلَا رَفْعِ صَوْتٍ عِنْدَ الشَّافِعِيَّةِ. وَلَا تَأْمِينَ بِاللِّسَانِ جَهْرًا عِنْدَ الْحَنَفِيَّةِ بَل يُؤَمِّنُ فِي نَفْسِهِ.
.
“Sunat mengaminkan doa khatib menurut Malikiyah, Syafi’iyah dan Hanabilah. Hanya sahaja, menurut Malikiyah dan Hanabilah amin tersebut dibaca sir (suara perlahan) dan tanpa suara yang kuat menurut Syafi’iyah. Menurut Hanafiyah tidak sunat mengaminkan dengan lisan yang boleh didengar, tetapi dibaca dalam hati”.
.
Adapun mengangkat tangan ketika doa dalam khutbah, maka perbahasan lengkapnya terbahagi menjadi dua perbahasan. Perbahasan pertama, apakah khatib sunat mengangkat tangan ketika berdoa. Perbahasan kedua, apakah makmum atau jamaah ketika mengaminkan doa khatib sunat mengangkat tangan. [3]
.
a. Imam Mengangkat Tangan
.
Untuk perbahasan yang pertama, iaitu apakah khatib ketika berdoa sunat mengangkat tangan, ulama berbeza pendapat. Ada yang berpendapat, khatib tetap sunnah atau boleh mengangkat tangan, ini kerana keumuman dalil kesunatan mengangkat tangan ketika berdoa dan Rasulullah ﷺ mengangkat tangan ketika sedang khutbah meminta hujan (istisqa’). Tetapi pendapat yang lain mengatakan tidak sunnah, malah perbuatan tersebut makruh. Imam Malik merupakan ulama yang termasuk mengatakan makruh mengangkat tangan ketika berdoa dan khutbah.
.
Imam an-Nawawi berkata:
.
أَنَّ السُّنَّةَ أَنْ لَا يَرْفَعَ الْيَدَ فِي الْخُطْبَةِ وَهُوَ قَوْلُ مَالِكٍ وَأَصْحَابِنَا وَغَيْرِهِمْ، وَحَكَى الْقَاضِي عَنْ بَعْضِ السَّلَفِ وَبَعْضِ الْمَالِكِيَّةِ إِبَاحَتَهُ لِأَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ رَفَعَ يَدَيْهِ فِي خُطْبَةِ الْجُمُعَةِ حِينَ اسْتَسْقَى وَأَجَابَ الْأَوَّلُونَ بِأَنَّ هَذَا الرفع كان لعارض
.
"Sesungguhnya menurut sunnah adalah tidak mengangkat tangan ketika khutbah (bagi seorang khatib), dan ini adalah pendapat Imam Malik dan para ashab Syafieyah dan selain mereka. Al-Qadhi meriwayatkan dari sebahagian salaf dan sebahagian ulama Malikiyah bahawa hal itu dibolehkan, kerana Nabi ﷺ pernah mengangkat kedua tangannya dalam khutbah Jumaat ketika memohon hujan (istisqa). Namun, kelompok pertama (yang melarang) menjawab bahawa pengangkatan tangan itu terjadi kerana adanya keadaan tertentu (yakni istisqa’), bukan sebagai kebiasaan khutbah." [4]
.
Qadhi Iyadh dalam Ikmal al-Muallim berkata:
.
كره قوم من السلف رفعَ اليدين في الخطبة والدعاء، وهو قول مالك، وحجة من قال ذلك هذا الحديث، وأجازه آخرون، وهو قول بعض أصحابنا، وحجتهم رفع النبي صلى الله عليه وآله وسلم يديه ومدَّها في الخطبة والدعاء يوم الجمعة حين استسقى
.
"Sebahagian ulama salaf memakruhkan (seseorang khatib) mengangkat tangan dalam khutbah dan doa, dan ini adalah pendapat Imam Malik. Dalil bagi mereka yang berpendapat demikian adalah hadis ini. Manakala yang lain membolehkannya, dan ini adalah pendapat sebahagian ulama dari mazhab kami. Dalil mereka adalah bahawa Nabi ﷺ mengangkat kedua tangannya dan membentangkannya dalam khutbah dan doa pada hari Jumaat ketika beliau berdoa meminta hujan (istisqa')." [5]
.
Imam ar-Ramli dalam Nihayah al-Muhtaj berkata:
.
ويكره للخطيب رفع يديه حال الخطبة، قاله البيهقي
.
“Dan dimakruhkan bagi khatib mengangkat dua tangan ketika khutbah, demikian dikatakan oleh al-Baihaqi”. [6]
.
b. Makmum Mengangkat Tangan
.
Untuk perbahasan yang kedua, iaitu makmum atau jamaah mengangkat tangan ketika khatib sedang berdoa, maka ulama juga berbeza pendapat.
.
Imam Ibn Abidin dalam Radd al-Muhtar berkata:
.
وإذا شرع الخطيب- في الدعاء لا يجوز للقوم رفع اليدين ولا تأمين باللسان جهرًا، فإن فعلوا ذلك أثموا، وقيل أساؤوا ولا إثم عليهم] اه
.
"Apabila khatib mula berdoa (dalam khutbah), maka tidak boleh bagi jamaah untuk mengangkat kedua tangan, dan tidak pula mengucapkan 'amin' dengan suara keras. Jika mereka melakukannya, maka mereka berdosa dan ada yang berpendapat bahawa mereka hanya berbuat tidak baik tanpa berdosa. Namun pendapat yang benar adalah yang pertama, dan itulah yang dijadikan sebagai fatwa."
.
Pendapat ini mengatakan tidak sunat mengangkat tangan, dan bahkan jika mengangkat tangan besertaa mengaminkan doa dengan suara kuat, maka hukumnya antara haram dan tidak baik tetapi tidak haram secara mutlak.
.
Pendapat kedua mengatakan bahawa mengangkat tangan bagi makmum adalah sunat bersesuaian dengan dalil umum kesunatan mengangkat tangan ketika berdoa.
.
Al-Hafiz Ibn Hajar al-Asqallani berkata:
.
فَقَدْ حَكَى الطَّبَرِيُّ عَنْ بَعْضِ السَّلَفِ أَنَّهُ أَخَذَ بِظَاهِرِهِ وَقَالَ السُّنَّةُ أَنَّ الدَّاعِيَ يُشِيرُ بِإِصْبَعٍ وَاحِدَةٍ وَرَدَّهُ بِأَنَّهُ إِنَّمَا وَرَدَ فِي الْخَطِيبِ حَالَ الْخُطْبَةِ وَهُوَ ظَاهِرٌ فِي سِيَاقِ الْحَدِيثِ فَلَا مَعْنَى لِلتَّمَسُّكِ بِهِ فِي مَنْعِ رَفْعِ الْيَدَيْنِ فِي الدُّعَاءِ مَعَ ثُبُوتِ الْأَخْبَارِ بِمَشْرُوعِيَّتِهَا
.
"Telah dinukil oleh at-Tabari dari sebahagian ulama salaf bahawa mereka mengambil (memahami) secara zahiriah (tekstual) dan mengatakan bahawa sunnahnya adalah orang yang berdoa menunjuk dengan satu jari. Namun pendapat ini dibantah kerana (dalil tersebut) hanya datang dalam konteks khatib ketika khutbah, dan ini jelas dalam susunan hadis. Maka tidak ada makna untuk berpegang padanya dalam rangka melarang mengangkat kedua tangan dalam berdoa, apatah lagi dengan adanya khabar-khabar (hadis-hadis) yang menetapkan disyariatkannya (mengangkat tangan dalam doa)."
.
Ucapan ini mengisyaratkan bahawa mengangkat jari (kerana mengangkat tangan makruh) adalah khusus bagi imam. Adapun selain dari imam, maka berlaku dalil umum untuk mengangkat tangan.
.
Dalam sebuah hadis, disebutkan:
.
أَتَى رَجُلٌ أَعْرَابِيٌّ مِنْ أَهْلِ الْبَدْوِ إِلَى رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَوْمَ الْجُمُعَةِ فَقَالَ يَا رَسُولَ اللَّهِ هَلَكَتِ الْمَاشِيَةُ هَلَكَ الْعِيَالُ هَلَكَ النَّاسُ فَرَفَعَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَدَيْهِ يَدْعُو وَرَفَعَ النَّاسُ أَيْدِيَهُمْ مَعَ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَدْعُونَ
.
"Seorang lelaki Arab Badwi dari pedalaman datang kepada Rasulullah ﷺ pada hari Jumaat, lalu berkata: 'Wahai Rasulallah, binasalah ternakan-ternakan, binasalah keluarga-keluarga, dan binasalah manusia!' Maka Rasulullah ﷺ mengangkat kedua tangannya berdoa, dan orang-orang pun mengangkat tangan mereka bersama Rasulullah ﷺ sambil berdoa." (HR. al-Bukhari)
.
Ketika mengulas hadis ini, Imam al-Qusthallani dalam Irsyad as-Sari berkata:
.
استدلّ به على استحباب رفع اليدين في الدعاء للاستسقاء، ولذا لم يرو عن الإمام مالك، رحمه الله، أنه رفع يديه إلاّ في دعاء الاستسقاء خاصة. وهل ترفع في غيره من الأدعية أم لا؟ الصحيح الاستحباب في سائر الأدعية. رواه الشيخان وغيرهما. أما حديث أنس، المروي في الصحيحين وغيرهما، الآتي في الباب التالي إن شاء الله تعالى: أنه -صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ-، كان لا يرفع يديه في شيء من الدعاء إلاّ في الاستسقاء، فإنه: كان يرفع يديه حتى يُرى بياضُ إبطيه. فمؤوّل على أنه لا يرفعهما رفعًا بليغًا، ولذا قال في المستثنى: حتى يُرى بياضُ إبطيه.
.
"Telah dijadikan sebagai dalil darinya atas disunnahkannya mengangkat tangan ketika berdoa untuk memohon hujan (istisqa’). Oleh itu, tidak diriwayatkan daripada Imam Malik, rahimahullah, bahawa beliau mengangkat kedua tangannya kecuali dalam doa istisqa’ sahaja. Lalu, apakah tangan diangkat juga dalam doa-doa lainnya atau tidak? Yang benar adalah disunnahkan (mengangkat tangan) dalam semua jenis doa. Hal ini telah diriwayatkan oleh dua imam (al-Bukhari dan Muslim) serta selain keduanya. Adapun hadith Anas yang diriwayatkan dalam Sahihain dan lainnya —yang akan disebutkan dalam bab berikutnya, insya Allah Ta‘ala— bahawa Nabi ﷺ tidak mengangkat tangannya dalam doa apa pun kecuali dalam istisqa’, maka maksudnya adalah: beliau ﷺ mengangkat tangannya sampai terlihat putih kedua ketiaknya. Maka hadits ini ditakwilkan bahawa maksudnya adalah beliau tidak mengangkat kedua tangannya dengan pengangkatan yang tinggi (berlebihan), oleh kerana itu disebutkan dalam pengecualiannya; sampai terlihat putih”.
.
Hadis riwayat al-Bukhari diatas sangat jelas menunjukkan bahawa Rasulullah ﷺ berdoa mengangkat tangan dan para makmum juga mengangkat tangan ketika berdoa. Walaupun konteks hadith diatas tentang istisqa’, akan tetapi menurut ulama yang mengatakan ketika khutbah selain untuk istisqa’ (meminta hujan) juga masih tetap sunnah mengangkat tangan, maka hadis ini merupakan hujjah bahawa imam dan makmum ketika berdoa sunnah mengangkat tangan semuanya, termasuk dalam doa khutbah.
.
Al-Imam Al-Faqih Ibn Hajar Al-Haitami pernah ditanya dalam Fatawa beliau tentang permasalahan ini lantas beliau memberikan jawapan:
.
سُئِلَ عَنْ رَفْعِ الْيَدَيْنِ بَعْدَ فَرَاغِ الْخُطْبَتَيْنِ يَوْمَ الْجُمُعَةِ، هَلْ هُوَ مُسْتَحَبٌّ أَوْ بِدْعَةٌ؟ وَهَلِ الْأُولَى رَفْعُهُمَا فِي زَمَانِنَا هَذَا وَقَدِ اسْتَوْلَى عَلَيْنَا الْفرَنْجُ الْمَلْعُونُونَ، وَقَدْ مَنَعَ مِنْ رَفْعِهِمَا بَعْضُ فُقَهَاءِ بِلَادِنَا، مُتَمَسِّكًا بِأَنَّهُ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ رَفَعَهُمَا لِلِاسْتِسْقَاءِ لَا غَيْرَ؟
.
:فَأَجَابَ – نَفَعَ اللَّهُ بِهِ – بِقَوْلِه
.
رَفْعُ الْيَدَيْنِ سُنَّةٌ فِي كُلِّ دُعَاءٍ خَارِجَ الصَّلَاةِ وَنَحْوِهَا، وَمَنْ زَعَمَ أَنَّهُ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لَمْ يَرْفَعْهُمَا إِلَّا فِي دُعَاءِ الْاسْتِسْقَاءِ فَقَدْ سَهَا سَهْوًا بَيِّنًا، وَغَلِطَ غَلَطًا فَاحِشًا. وَعِبَارَةُ الْعُبَابِ مَعَ شَرْحِي لَهُ: (يُسَنُّ لِلدَّاعِي خَارِجَ الصَّلَاةِ رَفْعُ يَدَيْهِ الطَّاهِرَتَيْنِ) لِلِاتِّبَاعِ، رَوَاهُلشَّيْخَانِ وَغَيْرُهُمَا مِنْ طُرُقٍ كَثِيرَةٍ صَحِيحَةٍ، فِي عِدَّةِ مَوَاطِنَ مِنْهَا الِاسْتِسْقَاءُ وَغَيْرُهُ، كَمَا بَيَّنهَا فِي الْمَجْمُوع وَقَالَ: مَنْ ادَّعَى حَصْرَهَا فَهُوَ .غَالِطٌ غَلَطًا فَاحِشًا
.
“Beliau ditanya berkenaan mengangkat tangan selepas selesai dua khutbah pada hari Jumaat, adakah ia suatu amalan yang disunatkan atau bidaah? Dan adakah lebih utama untuk mengangkat tangan pada zaman kita sekarang, sedangkan orang-orang (Barat) yang terlaknat telah menguasai kita, dan sebahagian fuqaha’ di negeri kita telah melarang perbuatan itu dengan berpegang bahawa Nabi SAW hanya mengangkat tangan semasa berdoa untuk memohon hujan sahaja dan tidak selainnya?
.
Maka beliau – semoga Allah memberi manfaat dengannya – menjawab:
.
Mengangkat tangan adalah sunnah dalam setiap doa yang dilakukan di luar solat dan seumpamanya. Sesiapa yang mendakwa bahawa Nabi SAW tidak mengangkat tangan melainkan ketika berdoa memohon hujan sahaja, maka sesungguhnya dia telah tersalah dengan kesilapan yang nyata dan telah melakukan kesalahan yang besar.
.
Ungkapan dalam kitab al-‘Ubab beserta syarahku terhadapnya menyebut: “Disunatkan bagi orang yang berdoa di luar solat untuk mengangkat kedua-dua tangannya yang suci,” kerana mengikuti sunnah. Ia diriwayatkan oleh dua Syaikh (al-Bukhari dan Muslim) dan selain mereka melalui banyak jalan yang sahih, dalam beberapa situasi termasuk istisqa’ (doa memohon hujan) dan lainnya, sebagaimana telah dijelaskan dalam kitab al-Majmu‘.
.
Dan dikatakan: Sesiapa yang mendakwa bahawa sunnah ini terbatas kepada istisqa’ sahaja, maka dia telah melakukan kesalahan yang besar”.
.
Dari teks imam Ibn Hajar diatas dapat disimpulkan bahawa menghadkan perbuatan mengangkat tangan untuk berdoa ketika khutbah adalah khusus untuk peristiwa Istisqa’ sahaja adalah tidak tepat bahkan memang secara umumnya digalakkan untuk semua doa luar solat untuk seseorang itu mengangkat tangan. Lebih-lebih lagi perbuatan makmum menyebut Amin (ta’min) ketika khatib membaca doa juga pada hakikatnya adalah satu bentuk doa kerana lafaz Amin (ta’min) bermaksud Allahuma Istajib (Ya Allah, maqbulkan lah).
.
Dalam Fatwa Darul Ifta’ al-Misriyah, nombor fatwa 7788 tahun 22 Juli 2023 dengan juru fatwa Dr. Syauqi Ibrahim Allam juga memahami harus mengangkat tangan berdasarkan hadith al-Bukhari diatas:
.
ذهب العلماء إلى جواز رفع الخطيب والمأموم أيديهم بالدعاء يوم الجمعة للاستسقاء وغيره من النوازل كاشتداد الريح والزلازل
.
"Para ulama membolehkan khatib dan makmum mengangkat tangan mereka ketika berdoa pada hari Jumaat untuk memohon hujan (istisqa') dan bencana lainnya, seperti angin kencang dan gempa bumi."
.
KESIMPULAN
.
Hukum mengangkat tangan bagi makmum yang mengaminkan doa khatib dalam khutbah Jumaat telah terjadi perbezaan pandangan ulama, menurut mazhab Syafie, ia adalah sunat dan diperbolehkan sebagaimana yang disebutkan oleh Imam Ibnu Hajar Al-Haitami dengan berdalilkan hadis Riwayat Imam Bukhari.
.
Disediakan Oleh:
.
Felo Penyelidik
Jabatan Mufti Negeri Pahang
.
RUJUKAN
.
[1] At-Ta’yin fi Syarh al-Arba’in juzu I ms. 116 (Muassasah ar-Rayyan)
[2] Jami’ al-Ulum wal Hikam juzu I ms. 269 (Muassasah ar-Risalah)
[3] Mausu’ah Fiqhiyah Kuwaitiyah juzu I ms. 116
[4] Syarah an-Nawawi, juzu VI ms. 162
[5] Ikmal al-Muallim juzu III ms. 277 (Dar al-Wafa’)
[6] Nihayah al-Muhtaj juzu I ms. 506 (Dar al-Fikr)
[7] Radd al-Muhtar juzu I ms. 158 (Dar al-Fikr).
[8] Fath al-Bari, juzu XI ms. 143 (Dar al-Ma’rifah)
[9] Irsyad as-Sari juzu II ms. 251
[10] Al-Fatawa Al-Fiqhiyyah Al-Kubra (252/1) (Al-Maktabah Al-Islamiyyah)
"Memasyarakatkan Ilmu, Mengilmukan Masyarakat”
#Pahang #muftipahang #MajuTerusPahang #KerajaanNegeriPahang #Pahang1st #PahangStedi
Disampaikan oleh
Pendakwah Bertauliah
Negeri Selangor
0132264264
Comments
Post a Comment