Jarak kedudukan antara imam dan makmum
Jarak kedudukan antara imam dan makmum yang melebihi dari kadar yang telah ditetapkan oleh fuqaha hukumnya makruh. Kadar jarak yang dimaksudkan ialah antara imam dan makmum (sesama jantina) tidak boleh melebihi jarak 3 hasta. Perkara ini dinyatakan oleh Imam al-Ramli di dalam kitab “Nihayah al-Muhtaj”:
(ويندب) للمأموم (تخلفه) عن إمامه (قليلا) عرفا فيما يظهر استعمالا للأدب وإظهارا لرتبة الإمام عليه ولا يزيد على ثلاثة أذرع
Maksudnya: “Makmum disunatkan berkedudukan ke belakang dari imam sedikit menurut uruf(kebiasaan) sepertimana zahirnya sebagai aplikasi adab dan menzahirkan kedudukan imam atas dirinya dan (jarak antara keduanya) tidak melebihi tiga hasta.”
Maksud tidak boleh jarak melebihi 3 hasta melibatkan implikasi hukum makruh, sepertimana yang dijelaskan di dalam kitab “Hasyiah al-Rasyidi ‘Ala Nihayah al-Muhtaj”:
(قوله: ولا يزيد على ثلاثة أذرع) فإن زاد كره وكان مفوتا لفضيلة الجماعة
Maksudnya: “Kenyataan beliau(Imam al-Ramli) ‘..dan tidak boleh melebihi (jarak) tiga hasta’. Jika melebihi (jarak terebut) maka hukumnya MAKRUH dan ia MELUPUTKAN FADILAT BERJEMAAH.”
Hukum jarak ini berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh Imam Abu Daud di dalam sunannya bahawa Baginda ﷺ solat di dalam Kaabah dan jarak antara Baginda ﷺ dan dinding Kaabah ialah 3 hasta. Selain itu jarak antara saf² pada zaman Nabi ﷺ. Perkara ini telah dijelaskan oleh Imam Ibn Hajar di dalam kitab “al-Minhaj al-Qawin”, kata beliau:
ولما صلى عليه الصلاة والسلام في الكعبة جعل بينه وبين حائطها قريبًا من ثلاثة أذرع لأنها قدر إمكان السجود، ولذلك يسن التفريق بين كل صفين بقدرها
Maksudnya: “Tatkala Baginda ﷺ mendirikan solat di dalam Kaabah Baginda menjadikan jarak antara dirinya dengan dinding Kaabah kira² tiga hasta kerana ia adalah jarak yang memboleh sujud. Dengan itu disunatkan pemisah antara dua saf dengan kadar jarak itu(3 hasta).”
Kesimpulannya, sunat jarak antara imam dan makmum (sesama jantina) tidak melebihi 3 hasta, bahkan juga ia adalah jarak antara saf-saf di dalam solat. Jika melebihi kadar tersebut maka hukumnya makruh yang meluputkan fadilat(pahala) berjemaah sepertimana yang dinyatakan di dalam kaedah fiqh:
كل مكروه في الجماعة يسقط فضيلتها.
Maksudnya: “Setiap perkara makruh dalam solat berjemaah menggugurkan fadilatnya.”
Sebagai penutup, pihak Ahli Jawatankuasa dan pegawai syarak masjid atau surau perlu cakna tentang perkara ini kerana ia melibatkan kesempurnaan solat berjemaah.
Wallahu a'lam.
Comments
Post a Comment