Apakah diharuskan berkongsi korban pada seekor lembu antara tujuh orang dengan niat yang berlainan?

SOALAN

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh, habibi Syeikhana. 

Saya mohon penjelasan berkaitan isu niat yang berbeza-beza bagi bahagian-bahagian dalam penyembelihan seekor lembu yang dikongsi dengan pelbagai tujuan. Contohnya:

¶ 3 bahagian diniatkan untuk ibadah korban,

¶ 2 bahagian untuk ibadah akikah,

¶ 1 bahagian untuk dijadikan hidangan walimah,

¶ 1 bahagian lagi diniatkan untuk dijual dagingnya.

Sebenarnya, saya menyampaikan pengajaran berkenaan hal ini berdasarkan apa yang saya pelajari daripada guru-guru saya, iaitu hukumnya adalah dibolehkan.

Namun begitu, selepas saya menyampaikan perkara ini, ada seorang individu yang mempertikaikan penjelasan tersebut. Katanya, tidak boleh mengambil bahagian daripada seekor lembu untuk tujuan korban sekiranya ada peserta yang berniat selain daripada ibadah korban.

Beliau mengemukakan rujukan daripada pandangan Imam al-Nawawi dalam Kitab al-Majmu‘ yang berbunyi:

ولو اشترك سبعة في بدنة أو بقرة، فينبغي أن يكونوا كلهم مريدين للقربة، فإن أراد بعضهم اللحم، قيل: لم يجز في الأصح.

Terjemahan: “Jika tujuh orang berkongsi dalam seekor unta atau lembu, maka sepatutnya kesemua mereka mestilah menginginkan (berniat untuk) mendekatkan diri kepada Allah (yakni ibadah). Jika sebahagian mereka hanya menginginkan daging, maka dikatakan: Tidak sah menurut pendapat yang paling sahih.”

Mohon pencerahan lanjut daripada pihak Syeikhana, adakah benar pandangan yang menyatakan bahawa tidak sah bahagian korban jika disertakan bersama niat selain ibadah, ataupun terdapat perincian atau khilaf yang boleh dipertimbangkan dalam isu ini?

JAWAPAN

Waalaikumussalam warahmatullahi wabarakatuh.

Hayyakumullah sidi, wa barakallahu fikum wa ahabbakumullah. 

1. Hukum Kongsi Lembu dengan Niat yang Berbeza-beza

Menurut pandangan mazhab al-Imam al-Syafi‘i, harus hukumnya berkongsi seekor lembu antara tujuh orang, sama ada:

¶ semua berniat ibadah korban,

¶ sebahagian berniat korban dan sebahagian lagi berniat akikah,

¶ atau sebahagian hanya mahu mendapatkan daging, sama ada untuk kenduri atau untuk dijual.

2. Sandaran daripada Kitab al-Majmū‘ oleh Imam al-Nawawi

Pandangan ini dinyatakan sendiri oleh Imam al-Nawawi dalam beberapa tempat dalam Kitab al-Majmū‘, antaranya:

a. al-Majmū‘, Jilid 8, hlm. 397:

وَتُجْزِئُ الْبَدَنَةُ ‌عَنْ ‌سَبْعَةٍ، وَكَذَا الْبَقَرَةُ، سَوَاءٌ كَانُوا أَهْلَ بَيْتٍ أَوْ بُيُوتٍ، وَسَوَاءٌ كَانُوا مُتَقَرِّبِينَ بِقُرْبَةٍ مُتَّفِقَةٍ أَوْ مُخْتَلِفَةٍ، وَاجِبَةٍ أَوْ مُسْتَحَبَّةٍ، أَمْ كَانَ بَعْضُهُمْ يُرِيدُ اللَّحْمَ، وَيَجُوزُ أَنْ يَقْصِدَ بَعْضُهُمْ التَّضْحِيَةَ، وَبَعْضُهُمْ الْهَدْيَ.

Terjemahan: "Seekor unta atau lembu memadai bagi tujuh orang, sama ada mereka dari satu keluarga atau berlainan rumah. Sama ada mereka semua berniat ibadah yang sama atau berbeza, sama ada ibadah yang wajib atau sunat, atau sebahagian mereka hanya menginginkan daging. Harus juga jika sebahagian mereka berniat untuk korban dan sebahagian lagi berniat untuk hadyu (korban di tanah haram Mekah)."

b. al-Majmū‘, Jilid 8, hlm. 398:

يَجُوزُ أَنْ يَشْتَرِكَ سَبْعَةٌ فِي بَدَنَةٍ أَوْ بَقَرَةٍ لِلتَّضْحِيَةِ، سَوَاءٌ كَانُوا كُلُّهُمْ أَهْلَ بَيْتٍ وَاحِدٍ أَوْ مُتَفَرِّقِينَ، أَوْ بَعْضُهُمْ يُرِيدُ اللَّحْمَ.

Terjemahan:" Harus tujuh orang berkongsi pada seekor unta atau lembu untuk tujuan korban, sama ada mereka dari satu rumah atau berlainan, atau sebahagian daripada mereka hanya menginginkan daging." 

c. al-Majmū‘, Jilid 8, hlm. 422:

فَإِنِ اشْتَرَكَ جَمَاعَةٌ فِي بَدَنَةٍ أَوْ بَقَرَةٍ، وَبَعْضُهُمْ يُرِيدُ اللَّحْمَ، وَبَعْضُهُمْ يُرِيدُ الْقُرْبَةَ، جَازَ؛ لِأَنَّ كُلَّ سُبْعٍ مِنْهَا قَائِمٌ مَقَامَ شَاةٍ.

Terjemahan: "Jika sekumpulan berkongsi pada seekor unta atau lembu, dan sebahagian mereka berniat mendapatkan daging, manakala sebahagian lain berniat ibadah, maka ia adalah harus. Ini kerana setiap 1/7 daripadanya itu menyamai seekor kambing." 

d. al-Majmū‘, Jilid 8, hlm. 429:

وَلَوْ ذَبَحَ بَقَرَةً أَوْ بَدَنَةً ‌عَنْ ‌سَبْعَةِ أَوْلَادٍ، أَوْ اشْتَرَكَ فِيهَا جَمَاعَةٌ، جَازَ، سَوَاءٌ أَرَادُوا كُلُّهُمْ الْعَقِيقَةَ، أَوْ أَرَادَ بَعْضُهُمْ الْعَقِيقَةَ وَبَعْضُهُمْ اللَّحْمَ، كَمَا سَبَقَ فِي الْأُضْحِيَّةِ.

Terjemahan: "Jika seseorang menyembelih lembu atau unta untuk tujuh orang anak sebagai akikah, atau sekumpulan orang berkongsi padanya, maka hukumnya harus, sama ada kesemuanya berniat akikah atau sebahagian mereka berniat akikah dan sebahagian lain hanya mahukan daging, seperti mana yang telah disebut dalam perbahasan korban.

3. Adapun tentang ibarat yang dikemukakan oleh individu yang mempertikaikan itu:

ولو اشترك سبعة في بدنة أو بقرة ،فينبغي أن يكونوا كلهم مريدين للقربة ،فإن أراد بعضهم اللحم ،قيل :لم يجز في الأصح

Setakat semakan saya, ibarat ini tidak dijumpai dalam Kitab al-Majmū‘. Mungkin ia adalah satu kesilapan atau mungkin dipetik dari sumber lain yang tidak disebutkan dengan tepat.

Sebaliknya, teks-teks yang jelas dalam al-Majmū‘ menunjukkan keharusan berkongsi satu sembelihan korban dengan niat yang berbeza-beza, termasuklah ada yang tidak berniat ibadah pun.

KESIMPULAN

Menurut ulama mazhab Syafi‘i, harus berkongsi korban pada seekor lembu antara tujuh orang dengan niat yang berlainan termasuklah sebahagiannya tidak berniat ibadah pun.

والله أعلم بالصواب

Abu Usamah Mohd Hanapiah bin Hj Hussin

4/6/2025

Comments

Popular posts from this blog

LAFAZ MEWAKILKAN SAMA ADA UCAPAN ATAU DALAM BORANG KORBAN

SALAWAT AL-FATIH

Zikir Sangat Penting Dan Tidak Sepantutnya Diabaikan