SEPULUH PERKARA YANG BOLEH DIPELAJARI DARI FIR'UN
Seorang syeikh pernah melawat piramid. Ketika menziarahi mumia Firaun, beliau terdengar seorang pengunjung bercakap dengan mumia tersebut. Lalu beliau duduk mendengar dengan penuh perhatian. Pengunjung itu berkata:
> “Wahai Firaun, daripadamu aku belajar. Firaun, engkau telah mengajarku sepuluh pengajaran.”
[Pertama]
Daripadamu aku belajar bahawa ketentuan Allah pasti berlaku. Engkau menyembelih ribuan bayi agar Musa tidak dilahirkan, namun apabila Musa datang, engkau sendiri membesarkannya di rumahmu.
[Kedua]
Daripadamu aku belajar bahawa hati berada di tangan Allah, bukan di tangan manusia. Ketika engkau memisahkan Musa daripada kasih sayang ibunya, Allah melembutkan hati isterimu terhadapnya. Engkau ingin merampas kasih ibunya, tetapi Allah memberinya seorang ibu lain di samping ibunya sendiri.
[Ketiga]
Daripadamu aku belajar bahawa tiada siapa mampu merosakkan sesiapa tanpa izin Allah. Di istana yang engkau laungkan, “Akulah tuhanmu yang paling tinggi,” Asiah di bilik sebelah bertasbih, “Maha Suci Tuhanku Yang Maha Tinggi.”
[Keempat]
Daripadamu aku belajar bahawa rumah menyimpan rahsia, dan seorang isteri serta suami boleh hidup di bawah satu bumbung namun tetap asing antara satu sama lain. Yang menyatukan pasangan ialah kesatuan hati, bukan sekadar bumbung.
[Kelima]
Daripadamu aku belajar bahawa satu angkatan tentera pun tidak mampu menghalang seorang mukmin daripada imannya. Para ahli sihir tidak gentar dengan tenteramu, dan tukang sisir rambut itu tidak takut dengan minyak mendidihmu.
[Keenam]
Daripadamu aku belajar bahawa darah tidak pernah menjadi air. Seorang adik kecil mengembalikan abangnya kepada ibunya ketika berkata, “Mahukah aku tunjukkan?” Dan seorang abang yang mulia tidak keberatan mengakui bahawa lidah adiknya lebih fasih daripadanya.
[Ketujuh]
Daripadamu aku belajar bahawa para hamba mencipta para penyiksa mereka dengan tangan mereka sendiri. Engkau tidak akan mampu menunggang belakang kaummu melainkan kerana mereka sendiri tunduk dan mengangkatmu.
[Kelapan]
Daripadamu aku belajar bahawa apabila Allah hendak menolong seorang hamba, Dia menolongnya dengan sebatang tongkat yang sebelumnya hanya digunakan untuk bersandar dan menggembala kambing. Dan apabila Dia hendak mengalahkan seorang hamba, Dia mengalahkannya di tengah-tengah pasukan tenteranya sendiri.
[Kesembilan]
Daripadamu aku belajar bahawa segala yang ada di bumi hanyalah sebab-sebab yang berjalan ke atas manusia, tetapi tidak ke atas Allah. Sungai yang sepatutnya menenggelamkan bayi-bayi menjadi pembawa amanah, menghantarkan kepadamu seorang bayi yang engkau cari. Dan laut yang biasanya dilalui dengan kapal, dilalui oleh suatu kaum dengan berjalan kaki setelah ia menjadi jalan yang kering.
[Kesepuluh]
Daripadamu aku belajar bahawa segala yang ada di bumi adalah tentera Allah, dan Dialah yang memilih senjata peperangan. Ketika engkau datang dengan tenteramu, Allah mampu mendatangkan tentera seumpamanya untuk menentangmu. Namun engkau terlalu hina di sisi Allah; lalu Dia membinasakanmu dengan air yang daripadanya Dia jadikan segala yang hidup.
منقول
Comments
Post a Comment