PRAKTIKAL WAKTU BANGUN MALAM

PRAKTIKAL WAKTU BANGUN MALAM

Al-Imam al-Ghazaliy berkata pada Nasihat ke-13 di dalam kitab Ayyuha al-Walad bahawa, Junjungan Agung Nabi Muhammad ﷺ telah bersabda:

((ثلاثة أصوات يُحِبُّها الله تعالى: صوت الديك، وصوت الذي يقرأ القرآن، وصوت المستغفرين بالأسحار))

Maksudnya: “Terdapat tiga suara yang dicintai oleh Allah Ta’ala iaitu; kokokan ayam jantan, alunan suara orang yang membaca al-Quran dan rintihan suara orang yang beristighfar pada waktu sahur.”

Kemudian, bagi menerangkan berapakah tempoh untuk bangun malam, Guru Yang Mulia Shaykhuna telah membaca sharahan al-Imam al-Ghazaliy dari kitab Ihya ‘Ulum al-Din, iaitu dari kitab Tartib al-Awrad wa Tafsil Ihya’ al-Layl.

[1] PERINGKAT PERTAMA

Menghidupkan كل الليل (sepanjang malam)

Sebahagian Salaf telah menunaikan solat Subuh dengan wuduk solat Isyak selama 40 tahun, antaranya:

1. Al-Imam Sa’id bin al-Musayyib
2. Al-Imam Sofwan bin Salim
3. Al-Imam Fudhayl bin ‘Iyadh dan ramai lagi

Kemudian, ditambah oleh Guru Yang Mulia Shaykhuna:

1. Al-Imam Abu Hanifah setiap malam 1000 rakaat. Beliau memakai jubah berharga 1000 dirham—tidak dikira pembaziran dalam urusan ibadah; sebagaimana hukum memakai minyak wangi yang mahal harganya

2. Al-Imam Muhammad bin Idris al-Shafi’iy tidak dilihat malamnya, kecuali dilihat sepanjang malamnya sibuk dengan beribadah sama ada; solat malam ataupun disibukkan dengan ilmu.

3. Al-Imam Ahmad bin Hanbal ketika sihat menunaikan 500 rakaat dan ketika sakit menunaikan 250 rakaat solat malam

——————

[2] PERINGKAT KEDUA

Menghidupkan نصف الليل (setengah malam). Ramai daripada kalangan Salaf yang mengamalkannya, sehingga tidak terkira bilangannya.

Guru Yang Mulia, Shaykhuna memberikan contoh bagi peringkat tersebut, iaitu dengan menghidupkan malam dari: Permulaan waktu Maghrib sehingga jam 1:00 pagi. Ini merupakan tartib yang paling mudah bagi peringkat kedua.

Hitungan kasarnya (mengikut waktu di Malaysia) adalah seperti berikut:

1. Katakanlah, waktu Maghrib bermula pada pukul 7:30 malam
2. Kemudian, waktu Subuh bermula pada pukul 6:30 pagi
3. Maka, jumlah keseluruhan waktu malam adalah sekitar 11 jam.
4. Kemudian, bagi mendapatkan separuh malam, dibahagikan 11 jam kepada dua, maka kita akan mendapat 5 jam 30 minit. Tempoh tersebut ditambahkan kepada pukul 7:30 malam, maka dapatlah pukul 1:00 pagi.

Namun, al-Imam al-Ghazaliy berkata, cara yang Ahsan adalah seperti berikut:

1. Tidur terlebih dahulu pada 1/3 malam yang pertama (sehingga jam 10:30 malam)
2. Kemudian, menghidupkan malam
3. Kemudian, tidur pada 1/6 malam yang terakhir (sekitar 1 jam 48 minit sebelum Subuh, iaitu tidur sekitar pukul 4:42 pagi)

——————

[3] PERINGKAT KETIGA

Menghidupkan ثُلُث الليل (1/3 malam)

1. Tidur sehingga separuh malam yang pertama (ataupun 3/6 malam, iaitu sehingga 1:00 pagi)
2. Kemudian, menghidupkan 1/3 malam (ataupun 2/6 malam, iaitu sekitar 3 jam 40 minit)
3. Kemudian, tidur pada 1/6 malam yang terakhir (iaitu tidur sekitar pukul 4:40 pagi)

Siti ‘Aishah رضي الله عنها telah berkata:

((كان رسول الله ﷺ إذا أوتر من آخر الليل، فإن كانت له حاجة إلى أهله دنا منهن، وإلا اضطجع في مصلاه حتى يأتيه بلال، فيؤذنه للصلاة))

Maksudnya: “Adalah Rasulullah ﷺ itu melakukan solat Witir pada akhir malam. Kemudian, jika Baginda ﷺ berhajat kepada ahlinya (iaitu kinayah kepada jima’), maka, Baginda ﷺ akan mendekatinya setelah waktu itu. Jika tidak, maka, Baginda ﷺ akan اضطجع (berbaring mengiring pada lambung kanan) di atas tempat solatnya, sehinggalah Sidna Bilal رضي الله عنه melaungkan azan Subuh.”

[FAIDAH]: Nabi Muhammad ﷺ bangun dari tidur, tanpa sebarang kesan-kesan mamai dan mengantuk pada wajahnya yang mulia, bahkan, Baginda tidak perlu mengambil wuduk kerana hati Baginda tidak pernah tidur

Berkata al-Imam al-Ghazaliy: Seseorang akan diberi pembukaan oleh Allah, jika mereka berterusan beramal dengan cara yang ketiga ini

——————

[4] PERINGKAT KEEMPAT

Menghidupkan سُدُس (1/6 malam iaitu sekitar 1 jam 48 minit) ataupun خُمُس (1/5 malam iaitu sekitar 2 jam 12 minit)

Afdhal dilakukan dalam mana-mana waktu pada pertengahan malam yang kedua (bermula 1:00 pagi) dan sebelum 1/6 malam yang terakhir

——————

[5] PERINGKAT KELIMA

Menghidupkan malam dengan tiada masa yang tertentu. Ia dimudahkan kepada Nabi yang menerima wahyu, ataupun ahli Falak, ataupun orang yang memasang penggera.

Peringkat ini, seseorang itu menghidupkan malam dari awal malam sehingga mereka terkalah dengan mengantuk (tertidur). Apabila terjaga, mereka kembali menghidupkan malam. Apabila mengantuk, mereka kembali tertidur.

Maka, dalam sebuah malam, terdapat نَومتان (dua kali tidur) dan قَومتان (dua kali bangun). Ini antara amalan yang susah dan afdhal. Terkadang, ia diamalkan Rasulullah ﷺ dan merupakan amalan Sidna ‘Abdullah bin ‘Umar, serta Ulul ‘Azmi daripada kalangan Sahabat dan Tabi’in

[6] PERINGKAT KEENAM

Tempoh yang paling sekejap, iaitu menghidupkan malam dalam tempoh:

1. Empat rakaat solat atau
2. Dua rakaat solat atau
3. Tempoh seseorang itu bersuci, kemudian, duduk menghadap kiblat dan berzikir serta berdoa dalam tempoh itu.

Justeru itu, orang tersebut telah termasuk di dalam al-Athar:

((صل من الليل، ولو قدر حلب شاة))

Maksudnya: “Tunaikanlah solat pada malam hari, sekalipun dalam tempoh perahan susu kambing.”

——————

[7] PERINGKAT KETUJUH

Tidak kira berapakah tempohnya seseorang itu menghidupkan malam. Maka, peringkat-peringkat menghidupkan malam ini, telah disusun dari waktu yang paling panjang sehingga paling pendek. (Intaha Ihya, hal. 430)

——————

[FAIDAH]: Guru Yang Mulia, Shaykhuna berkata: Antara sebab payah bangun malam ialah dosa dan makanan yang haram.

Sidna ‘Umar al-Khattab berkata: Kami lebih menyibukkan dengan urusan makanan apa yang masuk ke dalam perut kami, berbanding dengan urusan bangun malam (iaitu: bangun malam akan menjadi mudah ketika makanan dijaga)

_________

Akhirnya, kita nyatakan juga empat sebab yang memudahkan seseorang untuk bangun malam, seperti yang telah dinyatakan oleh al-Imam al-Ghazaliy:

1. Tidak membanyakkan makan dan minum
2. Tidak menyibukkan dirinya dengan amal yang akan meletihkan anggota tubuhnya
3. Tidak meninggalkan qaylulah (tidur sebentar sebelum Zuhur)
4. Tidak melakukan ma’siat di siang hari

Al-Imam Sufyan al-Thawriy telah berkata:

حرمت قيام الليل خمسة أشهر بذنب أذنبته، قيل: وما ذاك الذنب؟ قال: رأيت رجلا يبكي، فقلت في نفسي: هذا مراء

Maksudnya: Saya telah diharamkan daripada menghidupkan malam selama lima bulan disebabkan satu dosa yang telah saya lakukan. Kemudian, orang bertanya, apakah dosa tersebut? Saya menjawab, suatu hari saya telah melihat seorang pemuda menangis, maka saya pun bermonolog: “Tangisan tersebut hanyalah dibuat-dibuat olehnya.”(Intaha Ihya, hal. 425)

Wallahu a'lam.

Comments

Popular posts from this blog

Doa yang dianjurkan untuk dibaca di bulan Ramadan, khususnya menjelang berbuka

𝗠𝗘𝗡𝗚𝗔𝗡𝗚𝗞𝗔𝗧 𝗧𝗔𝗡𝗚𝗔𝗡 𝗠𝗘𝗡𝗚𝗔𝗠𝗜𝗡𝗞𝗔𝗡 𝗗𝗢𝗔 𝗞𝗘𝗧𝗜𝗞𝗔 𝗞𝗛𝗔𝗧𝗜𝗕 𝗕𝗘𝗥𝗗𝗢𝗔

Cara tadarus al-Qur’an