Al-Ism al-A‘zam
Al-Ism al-A‘zam bermaksud nama Allah yang paling agung. Apabila Allah diseru dengan nama itu, Dia memperkenankan doa, dan apabila diminta dengannya, Dia memberikan permintaan. Allah berfirman:
“Allah mempunyai nama-nama yang paling indah, maka berdoalah kepada-Nya dengan nama-nama itu.” Surah al-A‘raf, ayat 180.
Hadis-hadis Nabi SAW membuktikan bahawa al-Ism al-A‘zam memang ada. Namun, Baginda tidak menentukannya. Sebaliknya, Baginda mendengar beberapa orang berdoa dengan susunan nama Allah yang berbeza, lalu memberitahu bahawa mereka telah berdoa menggunakan al-Ism al-A‘zam.
Oleh sebab itu, para ulama berbeza pendapat dalam menentukannya.
Buraidah bin al-Husaib RA meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW mendengar seorang lelaki berdoa:
اللَّهُمَّ إِنِّي أَسْأَلُكَ بِأَنِّي أَشْهَدُ أَنَّكَ أَنْتَ اللَّهُ، لَا إِلَهَ إِلَّا أَنْتَ، الْأَحَدُ الصَّمَدُ، الَّذِي لَمْ يَلِدْ وَلَمْ يُولَدْ، وَلَمْ يَكُنْ لَهُ كُفُوًا أَحَدٌ.
Rasulullah SAW bersabda:
“Demi Tuhan yang jiwaku berada dalam kekuasaan-Nya, sesungguhnya dia telah memohon kepada Allah dengan nama-Nya yang paling agung; apabila Dia diseru dengannya, Dia memperkenankan, dan apabila Dia diminta dengannya, Dia memberikan.”
Doa ini menghimpunkan nama Allah, al-Ahad dan al-Samad, bersama pengakuan tauhid dan kandungan Surah al-Ikhlas.
Sebahagian ulama berpendapat bahawa al-Ism al-A‘zam di dalamnya ialah “Allah”. Sebahagian memilih “al-Ahad al-Samad”, manakala yang lain melihat seluruh susunan doa itu sebagai al-Ism al-A‘zam.
Anas bin Malik RA menceritakan bahawa beliau sedang duduk bersama Rasulullah SAW ketika seorang lelaki selesai rukuk, sujud dan membaca tahiyat, lalu berdoa:
اللَّهُمَّ إِنِّي أَسْأَلُكَ بِأَنَّ لَكَ الْحَمْدَ، لَا إِلَهَ إِلَّا أَنْتَ، الْمَنَّانُ، بَدِيعُ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ، يَا ذَا الْجَلَالِ وَالْإِكْرَامِ، يَا حَيُّ يَا قَيُّومُ، إِنِّي أَسْأَلُكَ.
Rasulullah SAW bertanya kepada para sahabat:
“Adakah kamu mengetahui dengan apakah dia berdoa?”
Para sahabat menjawab:
“Allah dan Rasul-Nya lebih mengetahui.”
Baginda bersabda:
“Demi Tuhan yang jiwaku berada dalam kekuasaan-Nya, sesungguhnya dia telah berdoa kepada Allah dengan nama-Nya yang agung; apabila Dia diseru dengannya, Dia memperkenankan, dan apabila Dia diminta dengannya, Dia memberikan.” Hadis ini diriwayatkan dalam Sunan Abi Dawud, al-Sunan al-Kubra oleh al-Nasa’i dan Sunan Ibn Majah.
Dalam sebahagian riwayat terdapat tambahan al-Hannan:
اللَّهُمَّ إِنِّي أَسْأَلُكَ بِأَنَّ لَكَ الْحَمْدَ، لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ أَنْتَ، يَا حَنَّانُ يَا مَنَّانُ، يَا بَدِيعَ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ، يَا ذَا الْجَلَالِ وَالْإِكْرَامِ، يَا حَيُّ يَا قَيُّومُ.
Hadis ini menyebabkan sebahagian ulama memilih al-Mannan, Badi‘ al-Samawat wa al-Ard, Dhu al-Jalal wa al-Ikram atau al-Hayy al-Qayyum sebagai al-Ism al-A‘zam.
Asma’ binti Yazid RA meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda:
“Nama Allah yang paling agung terdapat dalam dua ayat ini: ‘Tuhan kamu ialah Tuhan Yang Maha Esa; tiada Tuhan melainkan Dia, Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang,’ dan pada permulaan Surah Ali ‘Imran: ‘Alif Lam Mim. Allah, tiada Tuhan melainkan Dia, Yang Maha Hidup lagi sentiasa mengurus seluruh makhluk.’”
Dua ayat itu ialah:
وَإِلَٰهُكُمْ إِلَٰهٌ وَاحِدٌ لَا إِلَٰهَ إِلَّا هُوَ الرَّحْمَٰنُ الرَّحِيمُ
“Tuhan kamu ialah Tuhan Yang Maha Esa. Tiada Tuhan melainkan Dia, Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang.” Surah al-Baqarah, ayat 163.
الم اللَّهُ لَا إِلَٰهَ إِلَّا هُوَ الْحَيُّ الْقَيُّومُ
“Alif Lam Mim. Allah, tiada Tuhan melainkan Dia, Yang Maha Hidup lagi sentiasa mengurus seluruh makhluk.” Surah Ali ‘Imran, ayat 1–2.
Abu Umamah al-Bahili RA meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda:
“Nama Allah yang paling agung, yang apabila Dia diseru dengannya Dia memperkenankan, terdapat dalam tiga surah: al-Baqarah, Ali ‘Imran dan Taha.”
Para ulama meneliti tiga surah itu lalu menemukan ungkapan al-Hayy al-Qayyum dalam ayat berikut:
اللَّهُ لَا إِلَٰهَ إِلَّا هُوَ الْحَيُّ الْقَيُّومُ
اللَّهُ لَا إِلَٰهَ إِلَّا هُوَ الْحَيُّ الْقَيُّومُ
وَعَنَتِ الْوُجُوهُ لِلْحَيِّ الْقَيُّومِ
Berdasarkan lafaz yang berulang dalam tiga surah itu, ramai ulama memilih al-Hayy al-Qayyum sebagai al-Ism al-A‘zam.
Al-Hayy bermaksud Allah hidup dengan kehidupan yang sempurna, azali dan kekal, tidak didahului oleh ketiadaan serta tidak diakhiri oleh kematian. Al-Qayyum bermaksud Allah berdiri sendiri, tidak memerlukan sesiapa, sedangkan seluruh makhluk bergantung kepada-Nya.
Terdapat juga riwayat daripada Aisyah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda kepadanya:
“Wahai Aisyah, adakah engkau mengetahui bahawa Allah telah menunjukkan kepadaku nama yang apabila Dia diseru dengannya, Dia memperkenankan?”
Aisyah RA berkata:
“Wahai Rasulullah, ayah dan ibuku menjadi tebusanmu, ajarkanlah nama itu kepadaku.”
Baginda menjawab:
“Nama itu tidak patut diajarkan kepadamu, wahai Aisyah.”
Aisyah RA berundur dan duduk seketika. Kemudian beliau bangun, mencium kepala Rasulullah SAW dan berkata lagi:
“Wahai Rasulullah, ajarkanlah nama itu kepadaku.”
Baginda menjawab:
“Tidak patut aku mengajarkannya kepadamu, wahai Aisyah. Tidak patut engkau meminta sesuatu daripada urusan dunia dengan nama itu.”
Aisyah RA lalu berwuduk, menunaikan solat dua rakaat dan berdoa:
اللَّهُمَّ إِنِّي أَدْعُوكَ اللَّهَ، وَأَدْعُوكَ الرَّحْمَنَ، وَأَدْعُوكَ الْبَرَّ الرَّحِيمَ، وَأَدْعُوكَ بِأَسْمَائِكَ الْحُسْنَى كُلِّهَا، مَا عَلِمْتُ مِنْهَا وَمَا لَمْ أَعْلَمْ، أَنْ تَغْفِرَ لِي وَتَرْحَمَنِي.
Rasulullah SAW tersenyum lalu bersabda:
“Sesungguhnya nama itu terdapat dalam nama-nama yang engkau gunakan dalam doamu.”
Sebahagian ulama berpendapat bahawa al-Ism al-A‘zam ialah nama tertentu tetapi Allah merahsiakannya. Kerahsiaan itu mendorong seseorang berdoa menggunakan semua nama Allah, sebagaimana malam al-Qadar dirahsiakan dalam sepuluh malam terakhir Ramadan.
Pendapat lain menyatakan bahawa al-Ism al-A‘zam tidak terbatas pada satu lafaz. Mana-mana nama Allah yang disebut dengan hati yang hadir, ikhlas, tunduk dan tidak bergantung kepada selain Allah boleh menjadi al-Ism al-A‘zam bagi orang itu.
Imam Ibn Hajar menukilkan pandangan ini daripada Ja‘far al-Sadiq, Imam al-Junaid dan beberapa ulama lain.
Imam Ibn Hajar menghimpunkan empat belas pendapat dalam Fath al-Bari. Imam al-Suyuti menambah beberapa pendapat sehingga jumlahnya sekitar tujuh belas.
Antara lafaz yang dikatakan sebagai al-Ism al-A‘zam ialah Huwa, Allah, Allah al-Rahman al-Rahim, al-Rahman al-Rahim al-Hayy al-Qayyum, al-Hayy al-Qayyum, al-Hannan al-Mannan Badi‘ al-Samawat wa al-Ard, Badi‘ al-Samawat wa al-Ard Dhu al-Jalal wa al-Ikram, Dhu al-Jalal wa al-Ikram, Rabbi Rabbi, kalimah tauhid, Malik al-Mulk, Allahumma, doa Nabi Yunus AS, Allah Allah alladhi la ilaha illa Huwa Rabb al-‘Arsh al-‘Azim, dan Allah la ilaha illa Huwa al-Ahad al-Samad alladhi lam yalid wa lam yulad wa lam yakun lahu kufuwan ahad.
Ada juga pendapat bahawa nama itu disembunyikan dalam semua nama Allah atau terdapat dalam huruf pembuka surah seperti Kaf Ha Ya ‘Ain Sad dan Ha Mim ‘Ain Sin Qaf.
Pendapat bahawa al-Ism al-A‘zam ialah “Allah” sangat kuat. Lafaz Allah ialah nama khusus bagi Tuhan dan menghimpunkan seluruh sifat kesempurnaan-Nya.
Nama al-Rahman, al-Rahim, al-Malik, al-Quddus, al-Salam, al-Mu’min, al-Muhaimin, al-‘Aziz dan al-Hakim semuanya disandarkan kepada nama Allah. Kita berkata, “Al-Rahman ialah salah satu nama Allah,” tetapi tidak berkata, “Allah ialah salah satu nama al-Rahman.” Nama Allah juga terdapat dalam doa yang disebut oleh Rasulullah SAW sebagai doa yang mengandungi al-Ism al-A‘zam.
Imam Ibn ‘Abidin menukilkan bahawa Hisham meriwayatkan daripada Imam Muhammad al-Syaibani, daripada Imam Abu Hanifah, bahawa al-Ism al-A‘zam ialah “Allah”.
Pendapat ini turut disebut daripada Imam al-Tahawi dan ramai ulama. Nama Allah merujuk kepada Tuhan yang berhak disembah serta memiliki segala sifat ketuhanan, kesempurnaan dan kebesaran.
Pendapat bahawa al-Ism al-A‘zam ialah al-Hayy al-Qayyum juga kuat kerana kedua-dua nama itu ditemukan dalam Surah al-Baqarah, Ali ‘Imran dan Taha.
Pendapat bahawa al-Ism al-A‘zam ialah al-Ahad al-Samad bersandar pada hadis Buraidah. Al-Ahad menafikan segala sekutu, tandingan dan persamaan daripada Allah. Al-Samad bermaksud Tuhan yang sempurna kekuasaan dan kemuliaan-Nya, tidak memerlukan sesiapa, sedangkan seluruh makhluk bergantung kepada-Nya.
Sebahagian ulama memilih Dhu al-Jalal wa al-Ikram kerana nama itu terdapat dalam doa yang diperakui Rasulullah SAW. Dhu al-Jalal bermaksud Tuhan yang memiliki segala kebesaran, manakala al-Ikram menunjukkan bahawa Allah memiliki dan mengurniakan kemuliaan. Sebahagian ulama memilih al-Mannan kerana segala pemberian berasal daripada Allah.
Doa Nabi Yunus AS juga dikatakan oleh sebahagian ulama mengandungi al-Ism al-A‘zam:
لَا إِلَهَ إِلَّا أَنْتَ، سُبْحَانَكَ، إِنِّي كُنْتُ مِنَ الظَّالِمِينَ.
Doa ini menghimpunkan tauhid, penyucian Allah dan pengakuan terhadap kesalahan diri. Rasulullah SAW menerangkan bahawa seorang Muslim yang berdoa dengannya ketika menghadapi kesusahan akan diperkenankan doanya.
Pendapat bahawa al-Ism al-A‘zam ialah “Huwa”, yang bermaksud “Dia”, memang wujud dalam karya ulama. Imam Fakhr al-Din al-Razi membincangkannya dalam Mafatih al-Ghayb dan Lawami‘ al-Bayyinat. Beliau melihat lafaz Huwa sebagai lafaz yang menunjuk terus kepada zat Allah tanpa membataskannya pada satu sifat tertentu.
Imam al-Razi menukilkan kata-kata yang dinisbahkan kepada Imam al-Ghazali:
لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ تَوْحِيدُ الْعَوَامِّ، وَلَا إِلَهَ إِلَّا هُوَ تَوْحِيدُ الْخَوَاصِّ.
“Lafaz ‘Tiada Tuhan melainkan Allah’ ialah tauhid orang awam, sedangkan lafaz ‘Tiada Tuhan melainkan Dia’ ialah tauhid orang khusus.”
Orang yang menyebut nama Allah mengenal Tuhan melalui nama-Nya, sedangkan orang yang hatinya benar-benar hadir bersama Allah boleh menyebut “Dia” kerana dalam kesedaran hatinya tidak ada yang dimaksudkan selain Allah.
Imam al-Razi menguatkan huraian itu dengan firman Allah:
وَلَا تَدْعُ مَعَ اللَّهِ إِلَٰهًا آخَرَ، لَا إِلَٰهَ إِلَّا هُوَ، كُلُّ شَيْءٍ هَالِكٌ إِلَّا وَجْهَهُ.
“Janganlah engkau menyeru tuhan yang lain bersama-sama Allah. Tiada Tuhan melainkan Dia. Segala sesuatu akan binasa melainkan zat-Nya.” Surah al-Qasas, ayat 88.
Menurut Imam al-Razi, ungkapan La ilaha illa Huwa menafikan semua sembahan dan menetapkan bahawa hanya Dia Tuhan yang sebenar. Beliau berkata:
فَوَجَبَ أَنْ يَكُونَ قَوْلُنَا: هُوَ، أَعْظَمَ الْأَذْكَارِ.
“Maka sewajarnya ucapan kita ‘Huwa’ menjadi antara zikir yang paling agung.”
Dalam Surah al-Ikhlas, Allah berfirman:
قُلْ هُوَ اللَّهُ أَحَدٌ.
“Katakanlah: Dialah Allah Yang Maha Esa.”
Ubay bin Ka‘b RA meriwayatkan bahawa orang musyrik berkata kepada Rasulullah SAW:
“Terangkan kepada kami keturunan dan sifat Tuhanmu.”
Lalu Allah menurunkan:
قُلْ هُوَ اللَّهُ أَحَدٌ اللَّهُ الصَّمَدُ لَمْ يَلِدْ وَلَمْ يُولَدْ وَلَمْ يَكُنْ لَهُ كُفُوًا أَحَدٌ.
“Katakanlah: Dialah Allah Yang Maha Esa. Allah tempat bergantung segala makhluk. Dia tidak beranak dan tidak diperanakkan. Tiada sesuatu pun yang setara dengan-Nya.”
Perkataan Huwa dalam ayat “Qul Huwa Allahu Ahad” mempunyai beberapa penjelasan dari sudut bahasa Arab. Penjelasan ini disebut dalam Hasyiyah al-Sawi ‘ala Tafsir al-Jalalayn, Tafsir al-Nasafi dan kitab-kitab i‘rab al-Quran.
Wallahu a'lam
Pendakwah Bertauliah
Negeri Selangor
Pihak masjid, surau dll boleh telefon atau whatsapp menerusi talian 0132264264 /0186236114 untuk undangan berkuliah atau ceramah in sya Allah.
Comments
Post a Comment