Fadilat Membaca Surah al-Naba’ Selepas Asar

Fadilat Membaca Surah al-Naba’ Selepas Asar

Imam al-Wahidi meriwayatkan dalam al-Tafsir al-Wasit daripada Ubayy ibn Ka‘b bahawa Rasulullah SAW bersabda:

“Barang siapa membaca Surah ‘Amma Yatasa’alun, Allah akan memberinya minuman yang sejuk pada hari Kiamat.”

Syeikh Ismail Haqqi al-Bursawi turut menukilkan anjuran mempelajari beberapa surah yang mengingatkan manusia tentang akhirat:

“Pelajarilah Surah ‘Amma Yatasa’alun, Surah Qaf, Surah al-Najm, Surah al-Buruj dan Surah al-Tariq, serta dekatkanlah diri kepada Allah dengan surah-surah tersebut.”

Riwayat yang secara khusus menyebut bacaan Surah al-Naba’ selepas Asar pula ditemukan pada ruang tepi sebuah manuskrip Tafsir al-Qur’an karya Abu al-Layth al-Samarqandi. Catatan itu menyebut:

“Barang siapa membaca Surah al-Naba’ sebagai wirid selepas solat Asar, Allah akan menambahkan rezekinya, memberkati pendapatannya, mencatat baginya kebaikan seberat gunung-gunung dunia, menerangi setiap helai rambutnya pada hari Kiamat serta memperlihatkan kedudukannya di syurga sebelum dia meninggal dunia.”

Pada ruang tepi manuskrip yang sama turut dicatatkan bahawa pembaca Surah al-Naba’ akan diberi minuman yang sejuk pada hari Kiamat. Kedua-dua riwayat tersebut dinisbahkan kepada Ubayy ibn Ka‘b.

Dalam manuskrip al-Durr al-Nazim fi Fada’il al-Qur’an al-‘Azim wa al-Ayat wa al-Dhikr al-Hakim pula disebutkan beberapa khasiat Surah al-Naba’:

“Surah al-Naba’, sesiapa membacanya ketika bermusafir akan dipelihara daripada segala perkara yang mendatang dan dijauhkan daripada gangguan. Jika dia masuk menghadap penguasa yang ditakutinya dengan membawa bacaan surah itu, dia akan aman daripada kejahatannya.”

Amalan membaca Surah al-Naba’ selepas Asar turut mempunyai akar yang kuat dalam tradisi masyarakat Islam. Ketika berada di Anatolia, Ibn Battutah melihat sekumpulan kanak-kanak bersuara merdu berkumpul setiap hari selepas Asar di masjid jami‘ dan madrasah. Beliau berkata:

“Antara kebiasaan mereka ialah sekumpulan kanak-kanak yang bersuara merdu membaca setiap hari selepas Asar di masjid jami‘ dan madrasah, Surah al-Fath, Surah al-Mulk dan Surah ‘Amma.”

Di Tabriz, Ibn Battutah menyaksikan amalan yang hampir sama di masjid jami‘ yang dibina oleh Wazir ‘Ali Shah. Halamannya berlantai marmar, dindingnya dihiasi jubin qashani, dilalui anak sungai serta dipenuhi pokok anggur dan bunga melur. Beliau berkata:

“Antara kebiasaan mereka ialah membaca setiap hari Surah Yasin, Surah al-Fath dan Surah ‘Amma selepas solat Asar di halaman masjid jami‘. Penduduk kota berhimpun untuk menghadiri bacaan tersebut.”

Amalan ini kemudian diperkukuh melalui ketetapan wakaf di pelbagai wilayah Islam. Dalam Nahr al-Dhahab fi Tarikh Halab, Kamil al-Ghazzi menyalin syarat wakaf kompleks Khusrawiyyah di Aleppo:

“Tiga puluh diberikan kepada seorang hafiz yang membaca Surah Yasin selepas Subuh, tiga puluh kepada seorang hafiz yang membaca Surah al-Naba’ selepas Asar di atas kerusi dalam masjid dan tiga puluh kepada seorang hafiz yang membaca Surah al-Mulk selepas Isyak.”

Dalam wakaf sebuah masjid di Payas, dua orang imam ditugaskan membaca surah-surah tertentu secara bergilir-gilir:

“Kedua-duanya hendaklah membaca secara bergilir-gilir Surah Yasin selepas Subuh, Surah ‘Amma selepas Asar dan Surah Tabarak selepas Isyak.”

Wakaf Mawlana Ahmad ibn Muharram yang dikenali sebagai Shaykh al-Qur’an, bertarikh Ramadan 1005H bersamaan April 1596M, turut menetapkan bacaan Surah al-Naba’ selepas Asar. Beliau berpesan:

“Selepas solat Asar, hendaklah mereka membaca Surah al-Naba’ dan menghadiahkan pahalanya kepada rohku. Semoga Allah Yang Maha Suci lagi Maha Tinggi memberikan kepada mereka pahala yang besar.”

Wakaf Acemzade Hüseyin Efendi di Kandiye, Crete, bertarikh 1080H bersamaan 1669M pula mengarahkan imam membaca Surah al-Naba’ selepas Asar di mihrab:

“Selepas menunaikan solat Asar, hendaklah dia membaca Surah al-Naba’ di mihrab dan menghadiahkan pahalanya kepada roh kedua-dua ibu bapaku.”

Imam tersebut menerima satu akçe sehari. Selepas Subuh, beliau membaca Surah Yasin dan menghadiahkan pahalanya kepada Rasulullah SAW. Selepas Zuhur, beliau membaca penghujung Surah al-Baqarah. Selepas Asar, beliau membaca Surah al-Naba’ untuk kedua-dua ibu bapa pewakaf, manakala selepas Isyak beliau membaca Surah al-Mulk untuk pewakaf.

Di Maraş, wakaf Masjid Rıdvanzade Ali Efendi menetapkan bacaan harian Surah Yasin selepas Subuh, Surah al-Naba’ selepas Asar serta Surah al-Mulk dan Amanar-Rasul selepas Isyak. Pahala bacaan tersebut dihadiahkan kepada Rasulullah SAW, pewakaf, kedua-dua ibu bapanya dan seluruh orang beriman.

Di Kaherah, wakaf Masjid al-Sitt Safiyyah turut melantik beberapa orang qari bagi melaksanakan bacaan selepas solat. Zaynab Fawwaz menukilkan ketetapan ini daripada al-Khitat al-Tawfiqiyyah:

“Hendaklah dilantik seorang qari bersuara merdu untuk membaca Surah Yasin selepas Subuh, seorang lagi membaca Surah ‘Amma selepas Asar dan seorang lagi membaca Surah Tabarak selepas Isyak.”

Dalam tradisi tasawuf Gülshaniyyah, Surah al-Naba’ selepas Asar menjadi sebahagian daripada awrad harian. Selepas Subuh dibaca Surah Yasin. Selepas Zuhur dibaca Surah al-Mulk dan tahlil. Selepas Asar dibaca Surah al-Naba’. Selepas Maghrib dilakukan solat Awwabin, manakala selepas Isyak dibaca Surah al-Mulk dan tahlil. Susunan ini dihuraikan oleh Mustafa Kara dalam “Gülşeniye ve Güldeste”.

Di Masjid Gazi Husrev-beg, Sarajevo, Surah al-Naba’ turut dimasukkan dalam jadual bacaan rasmi masjid, tetapi dibaca menjelang waktu Asar. Petugas qari membaca Surah al-Mulk sebelum Zuhur dan Surah al-Naba’ sebelum masuknya waktu Asar.

Wallahu a'lam
DAHIM BIN JALAL 
PENDAKWAH BERTAULIAH 
NEGERI SELANGOR 

Comments

Popular posts from this blog

Doa yang dianjurkan untuk dibaca di bulan Ramadan, khususnya menjelang berbuka

𝗠𝗘𝗡𝗚𝗔𝗡𝗚𝗞𝗔𝗧 𝗧𝗔𝗡𝗚𝗔𝗡 𝗠𝗘𝗡𝗚𝗔𝗠𝗜𝗡𝗞𝗔𝗡 𝗗𝗢𝗔 𝗞𝗘𝗧𝗜𝗞𝗔 𝗞𝗛𝗔𝗧𝗜𝗕 𝗕𝗘𝗥𝗗𝗢𝗔

Cara tadarus al-Qur’an