Apakah maksud mushaf?

Memegang telefon bimbit yang memaparkan ayat al-Quran tidak disyaratkan berwuduk, kerana telefon bimbit tidak dihukum sebagai mushaf.

Apakah yang dimaksudkan dengan mushaf?

Syeikh Muhammad Nawawi al-Jawi al-Bantani menjelaskan:

وَالْمُرَادُ بِالْمُصْحَفِ كُلُّ مَا كُتِبَ فِيهِ شَيْءٌ مِنَ الْقُرْآنِ بِقَصْدِ الدِّرَاسَةِ، كَلَوْحٍ أَوْ عَمُودٍ أَوْ جِدَارٍ.

“Yang dimaksudkan dengan mushaf ialah setiap benda yang ditulis padanya sesuatu daripada al-Quran dengan tujuan pembelajaran, seperti papan, tiang atau dinding.”
[Nihayah al-Zain, hlm. 32].

Syeikh Sulaiman al-Bujairimi pula menjelaskan bahawa tulisan merangkumi sesuatu yang benar-benar tertulis pada benda seperti lembaran atau kain, sama ada dengan dakwat atau selainnya, termasuk ukiran huruf pada batu, kayu atau tanah. Adapun sekadar membentuk huruf pada udara atau air, ia tidak dianggap sebagai tulisan menurut mazhab.
[Hasyiah al-Bujairimi 'ala al-Khatib, 3/498].

Justeru, ayat al-Quran pada skrin telefon merupakan paparan elektronik yang muncul dan hilang, bukan tulisan yang tetap sebagaimana mushaf. Maka telefon tidak mengambil hukum mushaf dan boleh disentuh tanpa wuduk, sekalipun aplikasi al-Quran sedang dibuka.

Pandangan ini juga dinyatakan oleh Syeikh Ali Jum'ah, mantan Mufti Mesir, bahawa telefon yang mengandungi al-Quran tidak mengambil hukum mushaf; maka harus memegangnya tanpa wuduk.

Kesimpulan: Memegang dan membaca al-Quran melalui telefon bimbit tanpa wuduk adalah harus. Namun, membaca dalam keadaan berwuduk tetap lebih sempurna dari sudut adab dan penghormatan terhadap kalam Allah SWT.

Wallahu a'lam
DAHIM BIN JALAL 
Pendakwah Bertauliah 
Negeri Selangor 

Comments

Popular posts from this blog

Doa yang dianjurkan untuk dibaca di bulan Ramadan, khususnya menjelang berbuka

Cara tadarus al-Qur’an

SOLAT QASAR DAN JAMAK: CARA MENGIRA HARI SAMPAI DAN HARI BALIK